Tak sengaja rempuh isteri hingga maut

Sungai Petani: Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar kereta yang bergerak ketika suaminya menghidupkan enjin dalam keadaan bergear di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Tukang Jusoh, dekat sini hari ini.

Kejadian malang itu berlaku pada 3.10 petang menyebabkan mangsa yang berusia 69 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan dalam badan.



Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pasangan suami isteri warga emas terbabit pada mulanya menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan.

“Sebaik tiba, suami mangsa meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah penduduk dan selepas selesai menghadiri kenduri mereka bersiap untuk pulang ke rumah di Kampung Telok Amboi, di sini.





“Suami mangsa yang berusia 76 tahun kemudian menghidupkan enjin kereta yang masih dalam keadaan bergear menyebabkan kenderaan terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar isterinya,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




“Pemeriksaan mendapati Proton Iswara Aeroback yang dinaiki pasangan itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Difahamkan, suami isteri warga emas itu dikenali ramai kerana menjalankan perniagaan menjual pulut udang di kawasan kampung mereka.