Remaja cedera ditendang, kepala dipijak bapa tiri

PARIT BUNTAR – Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera teruk di bahagian muka dipercayai akibat dipukul bapa tirinya, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa iaitu pengadu telah datang membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul lelaki pada 17 Ogos lalu di satu kediaman di Parit Buntar.

“Susulan itu, bapa tiri mangsa telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga.

Terdahulu, beberapa keping gambar kecederaan yang dialami termasuk audio jeritan ketika dipukul telah dimuat naik remaja itu di Instagram sehingga menjadi tular.





Laporan polis yang dibuatnya menyatakan dia telah berjumpa dengan ibu kandungnya pada Sabtu pukul 11 malam di Parit Buntar.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran di antara mereka, menyebabkan bapa tirinya keluar dari bilik air dan terus menampar pipi, menendang bahagian belakang badan dan memijak kepalanya.