Polis siasat video tular penunggang motosikal marah pemandu SUV

Sungkai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim mengesahkan menerima laporan polis berhubung tindakan sekumpulan penunggang motosikal memarahi pemandu kereta di Kilometer 370 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Sungkai, semalam, selepas video rakaman kejadian itu tular di media sosial.




Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, ketika kejadian pemandu kereta dan isteri yang mengandung, masing-masing berusia 34 tahun, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke arah Ipoh, Perak.

Menurutnya, hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari selepas pemandu kereta terbabit yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda berhenti di lorong kecemasan apabila isterinya yang hamil hendak termuntah.





Katanya, selepas selesai, pemandu SUV Mazda terbabit meneruskan perjalanan di lorong kecemasan dan tiba-tiba kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dari lorong kiri terus masuk ke lorong kecemasan.

“Keadaan ini menyebabkan pemandu kereta SUV Mazda membrek kenderaan secara mengejut dan mengakibatkan perlanggaran membabitkan motosikal Yamaha Y15ZR, Honda RS150R Benelli RFS150,” katanya dalam kenyataan hari ini.




Katanya, akibat pelanggaran terbabit menyebabkan penunggang motosikal berang dan marah terhadap pemandu kereta SUV Mazda yang memandu di lorong kecemasan.

“Semua penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah menerima rawatan.

“Semua kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil sahaja. Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya.