Polis buru lelaki intai guru wanita dalam tandas

Polis kini memburu seorang lelaki yang dipercayai mengintai seorang guru wanita di dalam tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 15 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 32 tahun pada hari sama.



Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa ke tempat kejadian untuk membawa murid bagi menyertai latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.

“Semasa mangsa berada dalam tandas wanita, mangsa dapati seorang lelaki mengintai dari bilik tandas sebelah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek melarikan diri selepas mendengar jeritan mangsa.





Katanya, suspek disyaki seorang lelaki Melayu dan pengadu hanya sempat melihat paras kepala hingga mata sahaja.

“Mangsa tidak nampak sebarang peralatan dipegang oleh suspek untuk merakam dan siasatan kini diteruskan untuk mendapatkan rakaman kamera lita tertutup,” katanya.





Kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Hadi di talian 016-2745515.