Penceramah bebas kenal mangsa melalui program motivasi

SHAH ALAM – Seorang penceramah bebas yang ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal telah berkenalan dengan kesemua pengadu menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati suspek berusia 40-an itu melakukan perbuatan tersebut ke atas empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun.

BACA: Selebriti ditahan amang seksual remaja bawah umur


“Siasatan awal pihak polis mendapati suspek telah berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi yang diadakan di sekolah sekitar Selangor. Hasil perkenalan itu, suspek didakwa telah bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal ke atas semua pengadu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan itu berdasarkan laporan yang diterima pihaknya pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.





Arjunaidi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor telah membuat tangkapan ke atas suspek sekitar 4 petang pada 8 September lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu.

“Kebenaran tahanan reman selama enam hari bermula semalam hingga 14 September ini juga telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.





Arjunaidi turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia akan menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan secara tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan sesuatu berita atau isu yang tidak tepat,” katanya. – Bernama