Padah ludah pegawai Imigresen, 2 lelaki didenda RM5,000

Putrajaya: Dua lelaki tempatan didenda RM5,000 setiap seorang selepas didapati bersalah melakukan provokasi terhadap pegawai Imigresen di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sekiranya mereka gagal membayar denda, kedua-duanya akan dipenjara lima bulan.

Menurutnya, hukuman dijatuhi selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 56 (1) (g) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 56 (1) (aa) Akta yang sama.



Beliau menegaskan, sebarang tindakan provokasi dan ancaman kepada mana-mana pegawai Imigresen yang sedang menjalankan tugas akan dikenakan tindakan berlandaskan undang-undang.

“Tiada kompromi ke atas mana-mana individu yang cuba menghalang atau membuat provokasi,” katanya pada kenyataan hari ini.





Tertuduh, Mior Abdul Maheer Mior Muhammad, 32, dan Jason Soo Kai Soon, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Keswati Mohamad.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.





Khairul Dzaimee berkata, kedua-dua tertuduh melakukan provokasi secara aktif dan enggan memberi kerjasama kepada pegawai yang sedang bertugas.

Katanya, tertuduh juga mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai Imigresen yang menjalankan tugas semasa Operasi Penguatkuasaan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

“Seorang daripada tertuduh meludah pegawai Imigresen dan kedua-duanya turut merakam provokasi yang dilakukan dengan niat untuk mengaibkan pegawai Imigresen,” katanya.