Mayat lelaki dan remaja perempuan dalam kereta ditutup kanvas

Masjid Tanah: Pasangan ditemukan mati di dalam Perodua Kancil di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, Lubok China, di sini pagi tadi.

Mayat lelaki dan perempuan berusia 20 dan 16 tahun itu ditemukan orang awam sebelum melaporkan kepada polis pada jam 9.25 pagi.


Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi dan menemui kereta terbabit dalam keadaan ditutup kanvas di kompleks itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai mangsa lelaki di tempat duduk pemandu dan perempuan di penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa ditemukan lengkap berpakaian.





“Kedua-dua mangsa dipercayai pasangan kekasih dan mangsa perempuan berusia 16 tahun itu dihantar oleh rakannya ke Japerun ini untuk bertemu dengan lelaki terbabit pada jam 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kita percaya pasangan itu meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida.

“Kita juga percaya mereka sengaja menutup kereta milik bapa si lelaki dengan kanvas bagi mengelak kenderaan ditemui,” katanya ditemui media di lokasi di sini hari ini.

Razali berkata, pasangan itu berasal dari Kuala Sungai Baru dan Lubuk China dengan lelaki tidak bekerja manakala perempuan adalah pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini.





Menurutnya, polis sedang mengumpul maklumat lanjut daripada kedua ibu bapa si mati bagi mengetahui status hubungan mereka.

“Siasatan dijalankan menyeluruh termasuk kemungkinan spekulasi cinta tidak direstui antara kedua mangsa.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.