Lelaki mengaku bersalah jadikan dua anak kandung sebagai ‘hamba seks’

AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas perbuatan ‘jijik’ merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya yang kini berusia 15 dan 19 tahun, sejak tujuh tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 56 tahun membuat pengakuan itu selepas 28 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Pada prosiding itu, tertuduh kekal mengaku bersalah selepas Nariman pada penghakimannya berulang kali menyoal sama ada tertuduh benar-benar faham dengan setiap pertuduhan terhadapnya serta implikasi hukuman sebelum menangguhkan keputusan pada esok (Selasa) sementara menunggu fakta kes.


Mengikut 21 pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua mangsa secara berasingan dengan 13 pertuduhan melibatkan mangsa berusia 19 tahun serta lapan lagi pertuduhan membabitkan seorang lagi mangsa yang kini berusia 15 tahun.

Tertuduh turut didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Malahan, bapa lima anak itu turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.





Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 sehingga 5 September 2022 lalu yang mana kejadian bermula selepas kedua-dua mangsa mula mencecah usia 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Thamby Chik dalam daerah Melaka Tengah.

Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM96,000 bagi kesemua 28 pertuduhan sementara menunggu penetapan fakta kes dan hukuman pada esok.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap isteri dan anak-anak.




Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mazana kemudiannya turut menetapkan esok sebagai tarikh jatuh hukum dan jaminan sebanyak RM,4000 ditawarkan kepada tertuduh.

Kedua-dua prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Nora Yaakob manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – awani