Juruterbang helikopter terhempas ditemui maut

TAPAH – Juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam disahkan maut oleh pihak berkuasa.

Mangsa dikenali sebagai Kapten Zee Khin Richard Chan, 58, merupakan warga negara Hong Kong ditemui pasukan penyelamat sekitar pukul 9.30 pagi tadi.



Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan mangsa disyaki meninggal dunia di lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.





Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.