Joli sakan hasil curi RM630,000 milik bapa saudara

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki kerugian RM630,000 selepas wang tunai dan barang kemas yang disimpan di dalam peti besi di sebuah kediaman di sini dipecah masuk oleh anak saudaranya bersama empat rakan, pada 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek utama berusia 19 tahun memecah masuk dan melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM430,000 serta barang kemas bernilai RM200,000 yang disorokkan di ruangan rahsia di rumah terbabit.





Menurutnya, suspek berjoli bersama beberapa rakan malah salah seorang daripada mereka menggunakan duit hasil curi terbabit sebagai wang hantaran dan melanggan pelacur.

“Pada 31 Ogos jam 3.30 petang, polis telah membuat serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki tempatan berumur 19 hingga 23 tahun yang sedang berhenti di sebuah stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai sedang berkonvoi sempena hari kemerdekaan.





“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan disyaki dibeli hasil wang curi dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan di sebuah rumah di Klang.

“Dipandu arah oleh suspek, polis berjaya menemui pelbagai barangan dibeli hasil wang curi di kediaman kesemua suspek di sekitar Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

Fakhrudin berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengetahui kedudukan peti besi yang disorokkan itu dan menyedari kediaman terbabit tidak berpenghuni.