Ibu direman 7 hari ‘hempuk’ anak dengan meja

KOTA BHARU – Seorang wanita direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera berhubung video tular memaparkan tindakannya membaling meja kayu kepada anak lelakinya yang berusia lapan tahun di sebuah rumah di sini, enam bulan lalu.

Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kok Lanas di sini kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas bekas suaminya atau bapa mangsa membuat laporan polis pada 10 Mac lalu.



Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, bekas suami suspek mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada teman lelaki kepada wanita itu yang memaklumkan mengenai insiden membaling meja itu yang berlaku pada 9 Mac.

Menurutnya, suspek didapati tinggal bersama anak lelakinya yang bersekolah di sini selepas bercerai dengan suaminya dua tahun lalu.





“Suspek bersama bekas suaminya berkahwin di Thailand pada 2012 dan mempunyai dua orang anak. Selepas bercerai, wanita itu menjaga anak lelakinya manakala bekas suaminya tinggal bersama seorang lagi anak perempuan di Tampin, Negeri Sembilan.

“Pada awalnya, bekas suami wanita itu cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan suspek berhubung hak penjagaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.





Menurut Mohd. Rosdi, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Katanya, kanak-kanak itu juga akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, suspek direman selamat tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 26 saat di TikTok yang memaparkan tindakan seorang wanita membaling meja kepada anak lelakinya sehingga kanak-kanak itu menangis.