Fobia keluar rumah sejak ‘disembunyi’ 13 hari

Kuala Terengganu: “Selepas kejadian enam tahun lalu, saya masih trauma dan tidak berani keluar rumah hingga ke hari ini apatah lagi memijak tanah walaupun di halaman rumah,” kata Muhamad Anuar Elias, 39, dari Kampung Losong Dato Amar, di sini.

Menurutnya, sejak enam tahun lalu masanya hanya dihabiskan di dalam rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti secara sendirian.

Katanya, kehilangannya selama 13 hari iaitu pada 27 November dan ditemukan semula pada 8 Disember 2016 di tebing Sungai Terengganu membuatkan dia masih trauma.

“Saya rindu untuk kembali bekerja namun apabila teringat mengenai kejadian itu, hati saya jadi tak kuat untuk turun dari rumah.

“Entahlah, nak bagi tahu pun susah, mungkin mulut orang senang untuk mengatakan turun saja ke tanah namun mereka tidak melalui apa yang saya lalui.


“Berat kaki untuk turun, itu saja yang boleh saya bagi tahu dan paling jauh pun hanya di beranda bahagian tangga, itu pun nak angkat tong gas yang dihantar pekedai,” katanya yang dahulunya bekerja sebagai tukang rumah.

Menurutnya, dia akui tiada gangguan mistik namun kebimbangan melampau mungkin membuatnya masih fobia untuk memijak tanah selepas kejadian itu.

Katanya, sampai masa nanti dia pasti akan turun dari rumahnya dan memijak tanah seperti dulu namun buat masa ini dia memerlukan ruang untuk menguatkan dirinya.

“Rakan-rakan ada datang ke rumah namun kami hanya berbual di dalam rumah dan mereka memahami permasalahan yang saya hadapi ini.

“Saya pula hanya mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial dan televisyen,” katanya.

Diaju soalan mengenai misteri kehilangannya Muhamad Anuar berkata, mulanya dia terdengar suara memanggil namanya dan sebaik dia berjalan ke arah sebatang pokok, dia kemudian melihat cahaya berkelip-kelip.

Menurutnya, selepas itu fikirannya di awang-awangan namun dia kembali sedar apabila terdengar suara seseorang orang memanggil namanya.

“Mak bagi tahu saya hilang 13 hari namun dalam tempoh itu saya rasa hanya seperti sehari saja,” katanya.

Ibunya, Asiah Noh, 59, berkata, dia sentiasa memberi kata semangat dan dorongan kepada anaknya supaya turun dari rumah dan menjalankan aktiviti harian seperti dulu.

“Saya suruh Anuar, pergi ke kedai makan bertemu rakan-rakannya namun Anuar menolak suruhan itu dengan baik kerana belum bersedia.

“Naluri seorang ibu kuat mengatakan tiba masanya anak saya akan turun dari rumah ini dan memijak tanah serta menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Mungkin kejadian yang menimpa anak saya itu meninggalkan kesan ke atas emosinya kerana saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku sepanjang 13 hari kehilangannya,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan di sebuah sekolah berhampiran rumahnya.




Menurutnya, dia bersyukur walaupun anaknya tidak seperti dulu namun kehilangan anaknya hampir dua minggu tidak berlarutan dan berjaya ditemui dalam keadaan merangkak di tebing sungai.

Katanya, kejadian kehilangan anaknya pernah mendapat liputan meluas media yang melaporkan kehilangan anaknya dari hari mula hilang hingga saat dia ditemui.

Asiah berkata, selepas anaknya ditemui dia turut berikhtiar dengan mendapatkan rawatan tradisional namun hanya beberapa ketika kerana anaknya tidak mengalami gangguan membabitkan perkara mistik.

Dia berkata, dia sentiasa berdoa supaya anaknya dapat kembali menjalani kehidupan yang nyata seperti dulu iaitu dapat bekerja dan meneruskan kehidupan seperti rakan sebaya.

Mengimbau kisah kehilangannya tahun 2016 misteri kehilangan Muhamad Anuar terurai apabila dia ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Atap Amar.





Muhamad Anuar Elias, 34, yang dilaporkan hilang sejak 27 November 2016, ditemui rakan baiknya Hamdan Mat Daud, 38, selepas dia terdengar suara mangsa meminta tolong ketika sedang menjala udang, kira-kira jam 7.40 malam.

“Saya terkejut apabila mendapati Muhamad Anuar sedang merangkak di bawah pokok rengas dalam semak berhampiran tebing sungai seolah-olah sedang mencari jalan keluar.

“Ketika itu, keadaan Muhamad Anuar tidak bermaya dan dia meminta tolong saya belikan nasi, daging masak merah dan air susu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah hari tadi.

Muhamad Anuar yang bekerja sendiri dan tinggal dalam sebuah pondok di tebing Sungai Terengganu disangkakan lemas dalam sungai berkenaan sejak kehilangannya.

Kehilangan pencari udang itu dianggap misteri kerana pelbagai usaha mencari dan menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung, namun gagal menemuinya.