Diugut peminat Zii Jia, pengulas sukan buat laporan

Shah Alam: Polis mengesahkan seorang pengulas sukan di stesen televisyen swasta membuat laporan polis susulan menerima mesej berbaur ugutan daripada peminat fanatik pemain badminton perseorangan negara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pengulas sukan lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira 1 pagi tadi (31 Ogos).



“Pengadu (pengulas sukan) itu menerima mesej melalui satu laman Instagram yang berbaur ugutan pada 27 Ogos lalu.

“Pengadu membuat laporan polis kerana mesej berkenaan mendatangkan kegusaran kepadanya sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.





Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan awal pihak polis, pengadu ada menyentuh berkenaan kemerosotan pemain badminton negara, Lee Zii Jia semasa mengulas dalam sebuah rancangan.

“Pengadu mengesyaki perkara terbabit mungkin mengundang rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu.





“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Hadi di talian 016-2745515,” katanya.