Bob Lokman meninggal dunia

KOTA BHARU: Pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, petang tadi.

Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, menghembuskan nafas terakhir jam 3 petang tadi.



Adiknya, Nazir Hakim Lokman, 32, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian selepas solat Isyak.





Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama meninggalkan seorang balu, Relawati Daud dan tujuh cahaya mata.

Terdahulu, pada 8 April lalu Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.





Namun, akibat kekangan kewangan dialami, Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.