[VIDEO] Pelan samun makan diri

KOTA BHARU: Berpura-pura mahu membeli barang sebelum mengeluarkan parang dan mengacukannya ke arah pemilik kedai runcit yang sendirian di kaunter pembayaran.

Itu tindakan dua lelaki lingkungan 20-an yang dipercayai menyamun kedai runcit milik warga Pakistan di Beret 12, di sini pada 3 semalam.

Mereka bagaimanapun gagal memperoleh apa-apa selepas seorang daripadanya ditahan mangsa dengan bantuan orang awam, manakala seorang lagi sempat melarikan diri dengan Perodua Myvi.



Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa berusia 40 tahun sempat melawan ketika suspek mengacukan parang ke arahnya.

“Dengan bantuan orang awam, seorang daripada suspek ditahan dan kemudian diserahkan kepada polis.

“Dia cedera di bahu kiri dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya dalam kenyataan hari ini.





Menurut, suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama rakan dikenali Afiq yang kini dalam buruan polis.

Katanya, pihaknya menahan reman suspek sehingga 7 Ogos dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.