Remaja parah langgar gajah

Kluang: Seorang pelajar sekolah menengah parah selepas terlanggar gajah di Jalan Kota Tinggi – Kluang berdekatan Taman Seri Impian di sini, kira-kira 10 malam tadi.

Ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, anaknya Muhammad Danish Saedin, 17, yang menunggang motosikal bersendirian ketika kejadian kini sedang menerima rawatan lanjutdi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.




Katanya, sebelum kejadian anaknya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian di sini sebelum pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.

“Doktor mengatakan terdapat pendarahan di kepalanya dan kekal. Ketika ini anak saya sedang ditidurkan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.





“Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah. Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selepas itu.

“Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.





Katanya, dia berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan kawasan berdekatan perumahan penduduk di Kluang akhir-akhir ini.

“Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan yang bergelap pada waktu malam.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya. – Hmtero