Remaja 17 tahun seludup Pati guna Vellfire

Kuala Lumpur: Caj RM6,000 dikenakan kepada setiap pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi menyusup masuk ke dalam negara untuk mencari pekerjaan.

Namun, hasrat 25 Pati itu tergendala selepas mereka dicekup polis di Jalan Selinsing, di sini, pada 12.05 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, rondaan dijalankan Ketua Balai Polis Jinjang terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan.

“Ketika dihampiri, kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire itu memecut laju dan enggan berhenti.





“Polis mengejar kenderaan berkenaan yang kemudiannya melanggar motosikal ditunggangi anggota polis termasuk tiga kereta di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dipandu seorang remaja berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun.





Katanya, seorang lelaki warga tempatan bagaimanapun melarikan diri ketika kemalangan berlaku.

“Hasil semakan identiti mendapati semua penumpang tidak memiliki pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah.

“Pemandu yang ditahan mengaku tiba dari Rantau Panjang di Kelantan bagi membawa masuk Pati terbabit untuk bekerja di negara ini.

“Semua suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.