Pukul, toreh muka rakan enggan bayar kos baiki kereta

PETALING JAYA : Gara-gara enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta, seorang lelaki tergamak memukul dan menoreh muka rakannya dalam kejadian di padang bola jaring, di Merdeka Villa Ampang dekat sini pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun tindakan suspek lelaki berusia 24 tahun itu akhirnya menyebabkan dia ditahan di Semenyih, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada 6 petang apabila mangsa dihubungi teman wanita suspek memberitahu suspek mahu bertemunya di padang bola jaring berkenaan.



Kata beliau, pertemuan berkenaan diadakan untuk berbincang mengenai masalah kereta mangsa yang mengalami kemalangan.

“Setiba sahaja di lokasi, mangsa dan suspek berbincang namun rakannya itu mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi dan mengajak bergaduh.

“Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.




Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudiannya telah melakukan serbuan di Semenyih, Kajang kira-kira pukul 2 pagi tadi sebelum menahan suspek.

“Suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” jelasnya.




Tambah beliau, ujian awal saringan air kencing mendapati suspek disyaki positif dadah jenis THC.

“Punca pergaduhan itu adalah disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek kerana suspek enggan membayar kos membaiki kereta.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.