Penjawat awam gred 11 hingga 56 terima KGT tambahan khas RM100

PUTRAJAYA – Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam untuk gred 11 hingga 56.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran KGT itu merupakan antara enam inisiatif ditawarkan kepada penjawat awam.



“Bayaran KGT ini akan dibuat mulai Januari depan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya dalam ucapan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, pada Selasa.

Mengambil contoh penjawat awam gred 11 yang menerima kadar KGT RM80 sebelum ini, Ismail Sabri berkata, kakitangan tersebut akan menerima kadar KGT asas RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100.

“Ini menjadikan jumlah KGT diterima beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya.





Menurutnya, inisiatif Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah manakala RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen yang diberi pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat dan menteri kabinet.




Ringkasan

πŸ“ Menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

πŸ“ Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

πŸ“ Perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

πŸ“ Penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

πŸ“ Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

πŸ“ Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 dibayar kepada anggota Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.