Kesatuan Perkhidmatan Imigresen tuntut permohonan maaf, JPA nafi Ketua Pengarah keluar kata-kata kesat

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyelar tindakan pegawai tertinggi kerajaan yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM), hari ini.

Menyifatkannya sebagai tidak profesional, Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin berkata, tindakan berkenaan juga dianggap biadab dan tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

Menurutnya, kejadian antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi itu dipercayai berpunca daripada ketiadaan pegawai JIM di kaunter Bilik Orang Kenamaan (VIP), Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sepatutnya bertugas 24 jam.


“Kejadian berlaku kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan, berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.

“Ketua Operasi Imigresen KLIA dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh pegawai tinggi itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairil Niza berkata, sikap pegawai tertinggi berkenaan yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa.





“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian adalah seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.

“Kejadian ini amat mengguris hati pegawai JIM lain keseluruhannya dan permohonan maaf perlu dibuat secara terbuka, selain menjadi contoh yang baik kepada penjawat awam dan rakyat,” katanya.

Sementara itu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang Pegawai Kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.

JPA memandang serius perkara itu dan menegaskan segala pertuduhan terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) itu adalah tidak berasas.

Ia berniat jahat untuk menjatuhkan imej KPPA sebagai pegawai tinggi kerajaan, kata JPA dalam satu kenyataan awal hari ini.

“Untuk makluman, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya James Lee (pegawai imigresen) akan ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.

“Malahan mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.




“JPA berpandangan ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang.
“Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” kata JPA.

Mengulas lanjut, jabatan itu menegaskan, teguran yang dibuat bukan di khalayak ramai dan KPPA menasihatkan dengan berhemah supaya pegawai tersebut mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu sedemikian.

“Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen.

“JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru, JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” tambahnya.