Kemas kini WhatsApp: Boleh keluar ‘group’ senyap-senyap

APLIKASI WhatsApp mengumumkan beberapa kemas kini baharu pada Selasa, melibatkan privasi aplikasi itu termasuk pengguna boleh membaca mesej diterima tanpa mendedahkan ia sudah dibaca atau belum.

Platform itu juga tidak lama lagi membenarkan pengguna menentukan siapa yang boleh melihat apabila mereka sedang ‘online’ dan menghalang orang lain melakukan tangkap layar terhadap mesej pengguna.



Bahkan, pengguna juga selepas ini boleh keluar dari kumpulan secara senyap tanpa ada tulisan menunjukkan pengguna berkenaan sudah “left group” seperti dilaporkan CNN.

Mengumumkan perubahan itu di Facebook dan Instagramnya, Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg berkata syarikat itu akan “terus membina cara baharu untuk melindungi mesej anda dan memastikannya selamat seperti perbualan bersemuka.”





Untuk rekod, WhatsApp mempunyai lebih daripada 2 bilion pengguna di seluruh dunia dan dimiliki oleh syarikat induk Facebook (FB) Meta.

Ramai pengguna sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai dasar privasi WhatsApp yang dikongsi dengan syarikat induk Facebook, yang mempunyai reputasi bermasalah dalam melindungi data pengguna.

Kebimbangan itu menyebabkan ramai pengguna beralih ke Signal, satu lagi platform pemesejan popular yang menekankan privasi penggunanya.





Facebook cuba menghilangkan kekeliruan mengenai dasar itu, mengatakan bahawa amalan perkongsian datanya bukanlah perkara baharu dan tidak “mempengaruhi cara pengguna berkomunikasi secara peribadi dengan rakan atau keluarga.”

Kini, dua daripada ciri baharu yang diperkenalkan di WhatsApp – yang akan membolehkan anda memilih siapa yang boleh melihat apabila anda aktif, dan meninggalkan kumpulan secara senyap – akan mula dilancarkan kepada semua pengguna bulan ini.

Fungsi menyekat tangkap layar, buat masa kini masih diuji dan akan disediakan kemudian, menurut WhatsApp.