Kemalangan dengan van polis, peniaga ikan bingung disaman

TEMERLOH – Seorang wanita mempersoalkan tindakan pihak polis menyaman abangnya selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki terbabit dilanggar oleh van polis di KM 16, Jalan Jerantut-Temerloh di sini Jun lalu.

Butiran insiden itu dikongsikannya menerusi Twitter pada Khamis tular dengan mendapat sebanyak 17,500 tanda suka dan 16,500 ciapan semula.
Turut dimuatkan, keadaan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian belakang (Ford Ranger) dan hadapan (van polis), berserta surat saman yang diterima abangnya.




Bagaimanapun, wanita itu mendakwa, van polis melanggar kenderaan abang dan kejadian itu direkodkan menerusi video dashcam.
Yang mengecewakan, katanya, abangnya hanya boleh membuat tuntutan atas insurans sendiri kerana tidak boleh membuat tuntutan terhadap insurans polis.

“Kini, polis saman pula abang? Memang undang-undang jalan raya… kalau polis langgar… orang awam yang kena saman ke?” soalnya.

Dalam surat saman itu, lelaki berkenaan diminta hadir sendiri atau melalui peguam ke Mahkamah Majistret Temerloh pada bulan Oktober nanti.
Wanita itu memberitahu, saman itu dikeluarkan atas kesalahan meletakkan kenderaan dengan bahaya/halang.





Bagaimanapun, dia menyangkalnya dengan mendakwa abangnya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan atau menghalang jalan sebaliknya ingin masuk simpang dan telah memberikan isyarat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut akan dilakukan.