Kebakaran misteri: Tujuh sekeluarga tidak lena tidur

REMBAU: Tujuh sekeluarga di Kampung Chuai Baru di sini, tidak lena tidur selepas menghadapi kejadian kebakaran secara tiba-tiba melibatkan kediaman dan barangan rumah mereka sejak 23 Julai lalu.

Mohd. Hafiz Hashim, 42, berkata, disebabkan kejadian api misteri yang berlaku lebih 20 kali itu, dia kini bimbang meninggalkan isterinya, Aidah Md Zam, 37, dan lima anak berusia lapan bulan hingga 10 tahun di rumah berkenaan.



“Rumah ini adalah peninggalan arwah bapa saya yang dibina sejak hujung tahun 1980-an. Saya mula tinggal bersama keluarga di sini sejak enam bulan lalu.

“Akibat kejadian kebakaran ini, anak-anak tidak dapat ke sekolah kerana baju sekolah mereka terbakar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam .





Kata Mohd. Hafiz, kejadian kali pertama berlaku sekitar pukul 1 petang yang menyebabkan kusyen berhampiran dapur rumah terbakar dan disedari isterinya yang pada mulanya menyangkakan kebakaran disebabkan anak-anak mereka bermain api.

“Saya memarahi anak namun tidak lama kemudian pakaian yang berada di dalam bakul pula terbakar. Pada hari yang sama ketika berada di rumah, saya terhidu asap semasa berkemas dan melihat baju yang digantung di belakang pintu tandas turut terbakar.




“Kini kami tak lena tidur. Tilam, langsir dan almari juga terdapat kesan kebakaran. Kami bimbang seluruh rumah pula terbakar, saya telah bawa semua barang keluar dari rumah namun menghairankan, di luar rumah juga barang-barang ini turut terbakar,” katanya.

Menurutnya, dia sudah penat menghadapi kejadian misteri tersebut dan memohon mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran supaya dapat membantunya.

“Kejadian ini buatkan kami sekeluarga tertekan malah saya juga tidak dapat keluar bekerja,” katanya. – UTUSAN