Bayi ditinggal sendirian terselamat, kereta diparkir menggelongsor ke sungai

JERANTUT: Berpantang maut sebelum ajal. Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cuma mengalami kecederaan apabila sebuah kereta jenis Toyota Alphard menggelongsor dan terhumban lalu terbalik ke dalam Sungai Betong, bandar Jerantut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.11 pagi, mangsa cuma berseorangan dalam kereta dipercayai ditinggalkan ibu bapanya berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.


Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Osman Abd. Malik berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan dan mendapati bayi perempuan itu telah dinaikkan oleh orang awam.

“Anggota bomba turun ke dalam sungai sedalam 0.6 meter ini dengan menggunakan tangga untuk menyelamatkan barang kepunyaan pemilik kereta ini lalu diserahkan kepada pihak polis.





“Terima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas mengeluarkan bayi tersebut yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbalik di dalam sungai ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Osman, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.




Ujarnya, saksi yang melihat kejadian itu mendapati kereta itu mengelongsor dan terhumban lalu terbalik di dalam sungai semasa ibu bapa bayi tersebut tiada di dalam kenderaan itu.