Azeem janji catat bawah 10 saat

Kuala Lumpur: “Saya berjanji kepada anda semua, anda akan melihat atlet Malaysia pertama yang berlari bawah 10 saat tidak lama lagi.”

Demikian janji pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi yang akan berusaha untuk muncul pelari pecut pertama negara berlari dengan catatan bawah 10 saat dalam acara 100m.

Azeem berkata demikian selepas menamatkan kempennya di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia hari ini sebaik gagal melangkah ke pentas final acara 200m.


Pada aksi separuh akhir saringan kedua, pelari berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan 20.97s dengan faktor cuaca menjejaskan lariannya.

Terdahulu, Azeem mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 20.83s pada saringan ketiga untuk layak ke separuh akhir dan catatan itu adalah rekod kebangsaan bagi kategori bawah 20 tahun sekali gus memperbaiki rekod peribadinya sebelum ini iaitu 20.89s.

Bagaimanapun, catatan itu kekal kedua terpantas dan masih belum dapat mengatasi rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dilakukan pada 2019.

“Tertangguh dua jam dan berlari dalam situasi teruk tetapi Alhamdulillah saya berjaya sehingga ke garisan penamat. Tiada apa perlu dimalukan dan saya sangat bangga dengan diri saya dapat melangkah sejauh ini.





“Berlari di pentas dunia sememangnya amat istimewa dan banyak saya pelajari. Terima kasih semua kerana terus menyokong saya selama ini.

“Saya berjanji kepada anda semua, anda akan melihat atlet Malaysia pertama yang berlari di bawah 10s tidak lama lagi. Alhamdulillah untuk segalanya dan berakhirlah perjalanan saya dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia,” katanya.

Azeem juga memohon maaf kepada semua pihak termasuk penyokongnya kerana gagal beraksi di pentas final acara 200m.





“Allah adalah sebaik-baik perancang dan saya pasti ada sesuatu yang lebih besar menanti saya di masa hadapan,” katanya.

Pada final acara 100m sebelum ini, Azeem menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dengan merekodkan masa 10.14s pada perlumbaan yang dikuasai oleh Letsile Tebogo dari Botswana yang turut mencipta rekod baru remaja dunia dan kejohanan dengan catatan masa 9.91s.

Sebelum itu, Azeem menggegarkan olahraga negara apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2016.