Wanita mengandung dirogol pakar bius ketika jalani pembedahan

RIO DE JANEIRO: Seorang pakar bius didakwa merogol seorang wanita mengandung ketika menjalani pembedahan caesarean di sebuah hospital di Brazil.

Lapor Daily Mail, Giovanni Quintella Bezerra, dipercayai mungkin melakukan serangan sama terhadap dua lagi wanita pada hari berkenaan.



Bezerra, 32, ditahan atas tuduhan merogol selepas dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita setelah memberi ubat bius kepada mangsa di Hospital da Mulher di São João de Meriti, Rio de Janeiro.

Ketika kejadian, suami wanita berkenaan diminta keluar dari bilik tanpa sempat melihat bayi yang baharu dilahirkan.

Jelas laporan, suami mangsa hanya mengetahui kejadian menimpa isterinya selepas menonton berita mengenai tangkapan pakar bius itu di televisyen.





Pegawai penyiasat, Barbara Lomba berkata, dia belum pernah melihat kes sedemikian sepanjang perkhidmatannya.

Jelas Lomba, suspek menamatkan latihan perubatannya dalam bidang bius dua bulan lalu.

Katanya, pihak pengurusan hospital memasang kamera untuk memantau tindakan Bezerra berikutan bimbang mengenai jumlah ubat diberikan kepada para pesakitnya.





“Namun, mereka terkejut setelah melihat rakaman dia membuat serangan seksual terhadap wanita itu ketika doktor lain melakukan pembedahan caesarean di belakang tirai.

“Suspek dilaporkan melakukan serangan itu selama hampir 10 minit,” katanya.

Sementara itu, Lomba berkata, beberapa kakitangan hospital mendakwa Bezerra melakukan dua lagi rawatan yang sama pada hari kejadian.

“Justeru, polis sedang menyiasat sama ada dua wanita itu turut menjadi mangsa serangan,” katanya.