[VIDEO] Polis siasat dakwaan lelaki tunjuk gari

REMBAU: Polis kini menyiasat kejadian dua pemandu kenderaan bertengkar di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Pedas di sini petang semalam dengan salah seorang daripada mereka turut didakwa mengeluarkan gari.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, semalam.



Menurutnya, laporan tersebut dibuat selepas lelaki terbabit bimbang dengan keselamatan dirinya susulan pergaduhan mulut dengan seorang lelaki yang turut mengeluarkan satu gari berwarna perak.

“Insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 5.10 petang. Pengadu yang memandu kereta dari sebuah berdekatan menghala keluar jalan simpang tiga dan membelok ke kanan jalan.

“Sebuah kereta jenis Proton Saga memasuki laluan pengadu dan jalan tersebut mempunyai dua lorong. Semasa kenderaan suspek berada di sebelah kanan pengadu, berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan suspek,” katanya hari ini.




Menurut Hazri, semasa pertengkaran tersebut, suspek turut mengeluarkan gari sambil mengeluarkan kata ugutan kepada pengadu.
Pengadu yang tidak mahu memanjangkan pergaduhan kemudian meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, mangsa yang berasa terancam dan bimbang keselamatan diri membuat laporan polis,” katanya lagi.





Menurutnya, pihaknya mengenal pasti suspek yang berusia 60-an berdasarkan maklumat yang diberikan mangsa dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.