Tiada Lagi JoHaRa di Slot Pagi Era

Selepas 10 tahun digandingkan dalam segmen pagi Era, jenama JoHaRa kini digantikan dengan 3 Pagi Era yang menampilkan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.

JoHaRa sebelum ini menggandingkan tiga penyampai popular iaitu Johan, Hanif Hamzah dan Ray.

Pengumuman itu dibuat pada majlis sidang media Pengenalan Personaliti Baharu Era yang berlangsung Tiffin At The Yard, Sentul Depot, Kuala Lumpur pada Jumaat.


Pengurus Saluran Era, Hani Fadzil berkata kali ini Era menampilkan perubahan beberapa segmen seperti 3 Pagi Era, 101 Era dan Daebak Era.

Bercakap mengenai gandingan tiga trio baharu penyampai pagi itu, Hani menjelaskan pihaknya cuba membawa kelainan dengan memperkenalkan hiburan infotainment bagi memenuhi selera pendengar.

Pihak Era merasakan sudah sampai masanya untuk kami bawa perubahan baharu untuk para pendengar yang selama ini menyokong kami sehingga menjadikan Era terus kekal sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia.





Saya percaya gandingan Nabil, Azad dan Radin ada kekuatannya tersendiri.

Kita tak boleh lari kalau orang buat perbandingan dengan JoHaRa tapi kehadiran Nabil, Azad dan Radin bukan untuk menggantikan mereka, sebaliknya terus menyambung legasi JoHaRa katanya..

Bercakap mengenai ketiadaan Johan dalam keluarga besar Era, Hani berkata mereka telah berbincang dan akhirnya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Kedua-dua pihak sudah berbincang dan bersetuju untuk membawa haluan masing-masing,katanya.

Hanif dan Ray masih lagi kekal berada dalam keluarga Era mengendalikan segmen 101 Era yang bersiaran dari Isnin hingga Jumaat, jam 4 petang hingga 8 malam.





Muka baharu yang turut ditampilkan ialah finalis Hero Remaja 2021, Fazziq Muqris yang akan bergandingan dengan Munabella menerusi segmen Daebak Era.

Daebak Era yang mengetengahkan lagu-lagu hits Kpop bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Pelawak Daniel Zaini pula akan mengendalikan segmen Port-Era, bersiaran Isnin hingga Khamis, jam 10 pagi hingga 1 petang.

Pengacara Isha Norsham diberi peranan menjayakan segmen Gempak Hit Era, yang bersiaran Isnin hingga Jumaat, jam 1 hingga 4 petang. Manakala bagi segmen Hujung Minggu di Era pula dikendalikan Zahier Yusoff. – Media Hiburan