Teman lelaki suspek wanita hina agama ditahan, Operasi kelab komedi digantung

Kuala Lumpur: Teman lelaki kepada wanita yang disiasat kerana menghina agama Islam di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini ditahan polis, semalam.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berkenaan direman selama tiga hari sehingga 13 Julai ini bagi membantu siasatan.

“Tangkapan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.



“Bagi suspek wanita yang ditahan kelmarin, permohonan untuk menyambung reman akan dibuat memandangkan tempoh reman akan tamat esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara dengan cadangan pertuduhan.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung segera operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), ibu negara selepas tular satu video klip dipercayai menghina agama Islam.




Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.





“Saya berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi di mana-mana premis yang berada dalam Wilayah Persekutuan mahupun di seluruh negara.

“Justeru, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, di samping laporan orang awam juga sentiasa diperlukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Pada 8 Julai lalu, tular video 54 saat menunjukkan wanita di kelab komedi di TTDI mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.