Tanah runtuh, lelaki tertimbus 4 jam dalam tangki septik

KOTA TINGGI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tertimbus kira-kira 4 jam dalam kejadian tanah runtuh di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di sini petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, bagaimanapun lelaki berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan stabil selepas berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.




Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 2.40 petang melibatkan seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih loji kumbahan di sekolah tersebut.

Menurutnya bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar telah digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

Ujarnya, operasi menyelamat ini turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Bandar Penawar dan Balai Bomba Sebana Cove, pasukan perubatan serta syarikat kontraktor berkenaan.





“Hasil siasatan yang dijalankan seramai empat orang pekerja syarikat sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih loji kumbahan di sekolah itu.

“Dimana semasa proses kerja dijalankan, tanah di tepi tangki loji kumbahan telah runtuh atau terjerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.





“Manakala tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri. Mangsa merupakan lelaki tempatan berumur 44 tahun berada dalam keadaan stabil,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa yang berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya.