Remaja perempuan dituduh bersubahat dengan perogol

Kuala Kangsar: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan bersubahat membabitkan jenayah rogol masing-masing secara individu serta rogol berkumpulan, pada pertengahan bulan yang lalu.

Tertuduh yang berusia 16 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.


Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu didakwa bersubahat dengan Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20; Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21; dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sembilan bulan dengan cara membenarkan dan menyebabkan seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berumur 15 tahun 11 bulan dirogol yang mana kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab persubahatan tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di rumah beralamat tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput, antara jam 1 hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu yang mana kesalahan dibaca mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, remaja perempuan itu didakwa bersubahat dengan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, dengan cara membenarkan dan menyebabkan mangsa yang sama iaitu remaja perempuan berumur 15 tahun 11 bulan, dirogol yang mana kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab-sebab persubahatan tertuduh.





Perbuatan itu pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput antara jam 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.

Oleh demikian bagi kertas pertuduhan kedua itu, ia dibaca mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad dengan tertuduh diwakili dua peguam, Navin Punj dan Mahajoth Singh.




Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan selepas mendengar rayuan pihak pembelaan.

Majistret menetapkan tarikh 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes selain turut memerintahkan agar tertuduh tidak boleh mengganggu saksi kes serta perlu melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Terdahulu, tertuduh dibawa menaiki van polis pagi tadi ke perkarangan Mahkamah Kuala Kangsar bersama empat tertuduh lelaki yang bersangkutan dengan kes rogol terbabit.

Navin ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai berkata, empat tertuduh lelaki kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk dituduh pada petang ini memandangkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sedang dalam tempoh cuti.