Polis ditikam suspek pecah rumah

Kota Bharu: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas ditikam di lengan menggunakan gunting ketika cuba menahan seorang suspek pecah rumah di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang di Selising, Pasir Puteh, kelmarin.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa berusia 30 tahun bersama sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dikatakan membuat serbuan di sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, sebaik tiba di lokasi berkenaan, mangsa melihat suspek berusia 35 tahun di dapur dan cuba melarikan diri ke arah pintu depan rumah sebelum dihalang.



Katanya, berlaku pergelutan sebelum suspek menikam mangsa di lengan dengan gunting dipercayai akibat panik selepas melihat sepasukan anggota polis mengepung rumahnya.

“Akibat pergelutan itu, suspek juga mengalami kecederaan di kepala, bengkak pipi, lebam mata dan beberapa kesan luka di tubuhnya selain menerima empat jahitan di kepala.





“Anggota polis yang cedera dirawat di Hospital Bachok dan menerima lima jahitan pada lengan kanan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di Bachok dan Pasir Puteh.

Katanya, semakan turut mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.





“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methaphetamine.

“Suspek direman empat hari di IPD Bachok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada IPD Pasir Puteh berkait kes cubaan bunuh anggota polis,” katanya.