Paul Yong didapati bersalah rogol pembantu rumah

Ipoh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.



Yong yang juga bekas exco kerajaan negeri dan bendahari Parti Bangsa Malaysia (PBM) boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumah berusia 25 tahun di rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 malam dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.





Pada 6 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Yong membela diri atas pertuduhan itu selepas Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi ketika perbicaraan yang bermula pada 5 April, manakala pihak pembela memanggil tiga saksi termasuk tertuduh.





Yong diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Azlina Rashdi, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.