Pasangan kekasih didakwa bunuh lelaki

KOTA BHARU – Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 24 tahun pada Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Za’im Syakir Sha’ri, 20, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh, dengan niat secara bersama melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Muhammad Fahmi Adli Mat dengan menetak badan mangsa itu menggunakan parang.

Kejadian didakwa dilakukan pada 14 Mei lalu kira-kira jam 10 malam hingga 15 Mei lalu kira-kira jam 1 pagi di kawasan perkuburan lama Islam, Kampung Gondang Ketereh dekat sini.




Kedua-dua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh.





Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan forensik.

Media pada 18 Mei lalu melaporkan sepasukan polis dan sukarelawan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung pada jarak 200 meter dari Pusat Operasi Sukarelawan Perikanan, Pengkalan Pasir Pekan.

Lelaki itu dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ).- Sinar harian