Lelaki mati dibelasah bini

JOHOR BAHRU – Seorang suami ditemui maut selepas disyaki dipukul sehingga mati oleh isterinya sendiri dalam kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya.


Menurut beliau, mangsa berusia 44 tahun manakala suspek pula berusia 35 tahun.

“Polis mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian. Suspek dapat diberkas di kawasan sekitar.





“Anak sulung pasangan itu yang berusia 11 tahun merupakan saksi kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Tambah Raub, suspek akan direman bagi membantu siasatan. Setakat ini motif dan senjata digunakan masih dalam siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.





Sementara itu, sumber memberitahu, suspek dijumpai dalam keadaan kakinya terikat selain terdapat kesan lebam pada sebelah kanan mukanya.

Katanya, suspek ditahan polis di kawasan sekitar pada pukul 9.40 pagi tadi dipercayai ketika cuba melarikan diri.

Dalam pada itu, jiran pasangan tersebut yang mahu dikenali sebagai Zarina, 46, mendakwa, suspek dan mangsa kerap bergaduh. Suspek juga pernah ditahan polis sebelum ini. – KOSMO!