Lelaki hina Islam ditahan, berdarah kena belasah

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis berkaitan video didakwa menghina Islam yang tular di laman sosial sejak semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu 8, Bukit Kuchai Puchong kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, polis turut menjalankan siasatan terhadap individu yang dikatakan membelasah suspek dalam video terbabit.



Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan di luar batasan undang-undang.

“Beri pihak polis jalankan siasatan,” katanya.

Difahamkan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdahulu, tular satu video menghina Islam di laman sosial menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.





Dalam video berdurasi 36 saat itu, lelaki berkenaan juga didakwa mencabar orang Melayu dan Islam supaya bertemu dengannya.

“Hina Islam, semboyan semua, geng-geng yang berNGO, berslogan. Aku nak korang try dengan aku, jumpa terus bunuh, jangan cakap banyak,” katanya dalam video tersebut.

Sementara itu, dalam satu lagi video berdurasi 27 saat yang tular, lelaki yang sama dilihat berlumuran darah dipercayai dipukul beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan.





Lelaki tersebut turut memuat naik satu lagi video berdurasi 26 saat meminta maaf selepas dipercayai dipukul.

“Aku tak salahkan mereka semua, aku faham. Sebenarnya aku nak tuju, mungkin aku tersalah buat, tak sepatutnya aku buat macam tu.

“Aku harap yang dekat luar tu tak buat macam ini lagi,” katanya. – UTUSAN