Langgar kereta bekas tunang marah ikatan pertunangan putus

SANDAKAN: Seorang lelaki merempuh kenderaan bekas tunangnya di Bandar Indah, Batu Empat, semalam selepas dipercayai tidak puas hati ikatan pertunangan mereka diputuskan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, semalam tular di media sosial sebuah rakaman berdurasi 30 saat, sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain yang dalam keadaan parkir.




Menurutnya, mangsa wanita, 20-an yang juga pemilik kenderaan jenis Perodua Myvi tampil membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Bandar Sandakan.

“Hasil siasatan , kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di Bandar Indah.





“Suspek lelaki, berusia 20-an, pada masa kejadian memandu kenderaan jenis Perodua Viva, yang juga bekas tunang kepada mangsa didapati dengan sengaja melanggar kenderaan suspek yang parkir di tempat letak kenderaan.

“Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan, polis menahan suspek pada jam 11.15 malam hari yang sama.





“Motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuashati dengan mangsa, berikutan perhubungan pertunangan mereka yang putus.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, ” katanya.