Kalau anak saya bersalah, bawa kepada polis, bukan bertindak kejam

CHUKAI: “Perbuatan mereka sangat kejam dan saya tidak boleh menerimanya,” kata Anisah Takzim, ibu remaja yang dibakar sehingga melecur di Kampung Perasing Jaya Jabur, Kemaman, Jumaat lalu.

Anisah, 50, berkata, dia mahu suspek mendapat hukuman setimpal akibat perbuatan yang menyebabkan anaknya melecur dari leher hingga bahagian depan dan belakang badan selepas dipercayai disimbah cecair disyaki minyak sebelum dinyalakan api.


“Kalau anak saya bersalah, bawalah kepada polis kerana kita ada undang-undang dan janganlah memperlakukan anak saya sebegitu kejam.

“Mereka bakar anak saya hidup-hidup, itu saya sedih dan tak boleh terima. Saya tak sangka ada lagi manusia kejam dan tergamak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Anisah yang juga ibu tunggal berkata, dia melihat anaknya yang menahan kesakitan ketika pulang ke rumah meminta bantuan.





“Dia pulang ke rumah kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan menjerit kesakitan. Saya nampak kesan bajunya yang terbakar melekat pada badannya.

“Dia beritahu badannya dibakar dan dia cuba memadamkan kebakaran itu dengan berguling di atas tanah,” katanya yang segera membawa anaknya ke hospital.

“Anak saya kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan saya sering menangis setiap kali melihat keadaannya.




“Anak saya kini semakin stabil dan sudah boleh bercakap serta sudah boleh makan sedikit,” katanya

Anisah berkata, dia tahu kesan kebakaran itu akan meninggalkan kecacatan kekal dan tidak putus berdoa supaya anaknya segera sembuh.

Kejadian tersebut disedari selepas anaknya pulang kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan menangis dan meminta bantuan sebelum mendapati terdapat kesan melecur pada badan mangsa.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai disimbah cecair dipercayai minyak sebelum dinyalakan api menyebabkan badannya melecur.

“Kejadian dipercayai berlaku kerana beberapa rakan menuduh mangsa mencuri wang bernilai RM100 namun kejadian sebenar masih dalam siasatan,” katanya, di sini, pada Sabtu.

Berikutan kejadian itu, polis telah menahan enam suspek dipercayai terbabit dan ditahan reman untuk siasatan lanjut.