Harga ikan siakap RM90 seekor, pemilik restoran dikenakan kompaun

PUTRAJAYA: Seorang pelanggan sebuah restoran di sini terkejut hidangan ikan siakap masakan tiga rasa yang dipesan dikenakan caj harga sehingga RM90 seekor.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin memberitahu, harga berkenaan disifatkan tidak masuk akal berbanding hidangan serupa di kedai tomyam biasa ialah sekitar RM50 seekor atau lebih rendah dengan saiz hidangan sesuai dimakan empat orang.

Walaupun harga tersebut ada dicatatkan dalam menu restoran terbabit, namun tidak menjangkakan harga dikenakan sehingga sebanyak itu kerana dia membuat pesanan melalui telefon secara terus untuk menempah meja lebih awal.



“Ketika membuat bayaran, juruwang mengenakan caj total berjumlah RM525 untuk tiga ekor ikan di samping makanan lain. Selepas dipersoalkan caj itu, dia menunjukkan harga itu sudah dicatatkan dalam menu. Bagi saya harga ini tidak munasabah kerana ia bukanlah sebuah restoran bertaraf lima bintang.

“Apatah lagi harga itu tidak dikira berdasarkan berat timbangan ikan tersebut, ia dikira sebagai pukul rata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Utusan Malaysia kemudian mengajukan aduan tersebut kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sama ada aduan tersebut mempunyai asas untuk disiasat pihak kementerian itu atau sebaliknya.




Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, bertindak atas aduan berkenaan, beliau telah mengarahkan pegawai untuk membuat pemeriksaan serta-merta dan tindakan kompaun dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ini kerana, kata beliau, harga yang dicatatkan dalam menu tidak lengkap iaitu bagaimana ia dicaj kepada pelanggan sama ada secara berat timbangan, mengikut jenis ikan, atau masakan yang ditawarkan.

Pada masa sama, katanya, pemilik restoran tersebut turut diberi masa tiga hari untuk membuat penjelasan mengenai kos untuk menghasilkan makanan yang diadukan.

“KPDNHEP telah mengeluarkan notis kepada pemilik restoran berkenaan ketika tinjauan pegawai KPDNHEP sebaik sahaja aduan diterima. Penjelasan perlu diberikan oleh pemilik restoran.




“Antara keterangan yang diperlukan adalah maklumat berkaitan kos operasi termasuk kos barangan, kos bahan mentah serta kos-kos lain berdasarkan kepada peratusan margin dan kadar keuntungan,” katanya.

Azman memberitahu, kedudukan lokasi restoran turut mempengaruhi harga makanan yang ditawarkan selain keistimewaan lain disediakan.

“Tetapi pelanggan perlu tahu sejelas-jelasnya ada faktor yang mempengaruhi harga. Mungkin harga teh o ais tidak sama di tempat ini jika dibandingkan di warung tepi jalan yang sudah tentu tidak boleh mengenakan harga tinggi,” katanya.

Pengguna juga perlu menggunakan hak mereka untuk membuat perbandingan harga dan membuat pilihan.