Angkara teman wanita, 3 remaja ditahan selepas pukul 2 lelaki

ANGKARA teman wanita, dua lelaki dipukul oleh sekumpulan remaja dalam satu kejadian di hadapan sebuah restoran dekat Jalan Kuning, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya mengesan kejadian pergaduhan terbabit menerusi klip video yang tular semalam.


Katanya, susulan kejadian tersebut, dua orang mangsa berusia 22 tahun telah membuat laporan polis.

“Punca kejadian dipercayai kerana berlaku salah faham antara mangsa dan suspek membabitkan teman wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.





Susulan itu, polis berjaya menangkap tiga remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke hadapan majistret dan tahanan reman dibenarkan selama empat hari sehingga Khamis”.




Katanya, polis kini giat mengesan saki-baki suspek yang terlibat.

Kes kini disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.