Wings keluar album baru tahun depan

TIADA kata yang terlahir daripada mulut Datuk Awie melainkan ucapan kesyukuran yang tidak henti-henti.

Selepas dua tahun berehat akibat pandemik Covid-19, dia kini ligat semula beraksi di atas pentas baik secara solo mahupun bersama kumpulan Wings.

“Apa yang saya boleh cakap ialah alhamdulillah. Seolah-olah Allah ganti kehilangan dua tahun itu. Allah ganti balik kerja yang tertunda, yang tertunggak, tertinggal dan sebagainya.



“Syukur, saya masih berada dalam industri dan masih relevan sehingga sekarang,” katanya.

Bulan depan Wings beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, pada 14 dan 15 Julai, manakala pada 20 Ogos depan dia sekali lagi bergandingan dengan Erra Fazira seperti sebelum ini menerusi Showcase Awie Romantika di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Seminggu selepas itu pula, berlangsung pula Showcase Wings One Night Only Live In Kuching membariskan Syam dan Edrie (gitar), Eddie (bass) serta Black (dram) di Sarawak Chambers, Riverside Majestic Hotel, Kuching pada 27 Ogos depan.

“Kalau dilihat penganjur tak putus-putus panggil Wings buat show di sana sini termasuk Sabah dan Sarawak. Ini petanda sihat untuk Wings yang mana saya ramalkan dalam 10 ke 15 tahun akan datang kami akan habiskan perjuangan dalam seni.




“Sementara nak habiskan perjuangan ini, kalau boleh kami nak berikan sesuatu yang terbaik. Hari demi hari kami berlatih dan dapat rasakan satu benda,” katanya.

Jelasnya, apabila berlima mereka dapat berasakan ‘solidnya’ muzik, persembahan dan nyanyian serta sebagainya.

“Ini yang kita nak jaga supaya Wings terus relevan walaupun di peringkat usia lebih 50 tahun. Saya pernah dua kali buat pembedahan apabila kotak suara saya koyak. Itu yang sangat bahaya dan doktor peribadi saya ingatkan kalau boleh jangan jadi yang ketiga.

“Sekarang kalau ada sedikit pun masalah, saya akan terus jumpa doktor. Itu yang terbaik,” katanya.

Sebagai penyanyi, Awie perlu berlatih menyanyi setiap hari supaya sentiasa bersedia apabila diminta menyanyi.

“Saya sentiasa bersedia bila-bila masa jika ada konsert besar. Saya tak boleh kompromi dengan latihan. Untuk kekalkan tahap ini, latihan amat penting.

“Jika ada latihan yang cukup, perkara ini tidak mustahil. Allah bagi suara dan kudrat. Jika kudrat kita tak jaga bagaimana suara nak kekal? Perkara ini bersangkut paut dengan latihan jasmani, rohani dan sebagainya. Kalau kita hanya bersandarkan suara, tapi latihan tiada, memang tak boleh,” katanya.

Sudah lama tanpa album, Awie merancang untuk mengeluarkan album terbaharu Wings tahun depan.

“Selepas itu kami rancang nak buat ‘road tour’ dan kemudian berehat,” katanya.

Ditanya kewajaran memilih Erra sekali lagi untuk bergandingan dalam Showcase Awie Romantika, Awie berkata, ia sudah lama dirancang selepas konsert di Shah Alam, namun tertangguh seketika akibat Covid-19.




“Seperti saya beritahu sebelumnya, saya buat konsert ini untuk beritahu kepada umum sebelum kami berdua tiada supaya orang-orang ini yang fitnah kami sempat minta maaf.

“Kami difitnah teruk. Jadi, lebih baik kami buat penyelesaian di atas pentas bersihkan benda ini supaya orang lihat kami okey dan jangan buat andaian lagi.

“Tuduhan itu sangat melampau dan saya ambil andaian itu untuk buat pembaharuan pergi ke drama dalam konsert. Kami selesaikan perkara yang baik dan kekal sebagai sahabat selamanya,” katanya yang mengakui fitnah terbabit sudah reda selepas konsert terbabit.