Selepas diburu sejak 2018, lelaki menyamar tentera ditahan

Tampin: Polis menahan seorang lelaki yang dikehendaki sejak 2018 di sebuah rumah di Kampung Sungai Layang, Rembau, petang semalam kerana disyaki menyamar sebagai anggota tentera dan menceroboh kem tentera darat di daerah ini.

Dalam serbuan 5.50 petang itu, polis turut menemui pakaian seragam tentera, aksesori dan pistol tiruan disyaki milik suspek berusia 27 tahun itu.




Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tampin ke sebuah rumah di Perumahan Rakyat Kampung Sungai Lalang, di sini.

“Sebaik tiba, polis memperkenalkan diri sebelum membuat tangkapan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.





Anuwal berkata, pihaknya merampas seragam lengkap tentera dan aksesori disyaki dimiliki suspek termasuk pistol tiruan, sarung tangan dan beg berlogo polis berisi gari.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin, di sini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.




“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera berpakaian seragam Pasukan Gerakan Khas berpangkat Kolonel Angkatan Tentera,” katanya.

Harian Metro pada 30 Disember 2018 melaporkan polis memburu seorang lelaki bagi mengenalpasti motif suspek menceroboh kem berkenaan untuk berjumpa dengan Kompeni Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Pemerintah.

Petugas di kem berkenaan meminta suspek menunjukkan identiti namun lelaki terbabit gagal berbuat demikian sebelum melarikan diri.