Persembahan Konsert Search Rockin’ On Rooftop luar biasa

Kuala Lumpur: Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang dihadiri lebih 3,000 peminat dalam dan luar negara di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, malam tadi berlangsung dengan penuh meriah dan mengagumkan.

Biarpun konsert bermula sedikit lewat sekitar jam 9.30 malam berikutan hujan, namun segalanya dapat diatasi dengan baik selain peminat yang hadir masih setia menanti meskipun ramai yang sudah ‘lencun’.



Pemain gitar Search, Kid berkata, dia pada awalnya mengaku risau apabila hujan yang turun tidak menunjukkan tanda akan berhenti dalam tempoh yang singkat.

“Hujan yang turun adalah rezeki buat kami. Tak sangka kehadiran peminat yang hadir cukup luar biasa. Peminat tetap setia menanti walaupun terpaksa bermandi hujan.

“Pada awalnya saya menjangkakan hujan akan turun lebih lama, tapi syukur segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Menurut Kid, kehadiran vokalis baharu Search Denden Gonjalez pada konsert Search Rockin’ On Rooftop sememangnya cukup luar biasa dan menepati segala ekspektasi kumpulan itu.





“Kami berpeluang bersama dalam waktu yang agak singkat, tapi kami cuba gandakan usaha dan latihan.

“Walaupun begitu tapi kami dapat keputusan yang baik malam ini (semalam). Denden memberikan sepenuh energi yang dimiliki demi meneruskan legasi Search,” katanya.

Selain kehadiran Kid dan Denden, konsert terbabit turut menampilkan Noordin (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram).

Pada konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Search menghiburkan peminat dengan hampir 17 lagu popular kumpulan itu.





Antaranya Fantasia Bulan Madu, Bencana, Metropolitan, Pasti, Purnama, Melastik Ke Banting, Teguh dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Konsert terbabit turut dimeriahkan dengan persembahan Ratu Rock, Ella yang menyanyikan lagu Melayar Bahtera dan Bayangan duet bersama Denden.

Search dibarisi Kid (Gitar Utama), Din (Gitar Kedua), Yanto (Bass), Minn (Drum) dan penyanyi baharu mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez juga Firdaus sebagai keyboardist.