Peniaga Rugi RM400,000,Tiga Jam Rolex Disamun

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga dalam talian yang mahu menjual jam tangan mewah berjenama Rolex terpaksa berputih mata apabila dia disamun di sebuah restoran di Taman Mount Austin di sini, semalam.

Kejadian pada pukul 1.45 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu pelanggannya yang mahu membeli jam tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM400,000 selepas disamun empat lelaki bersenjata.





Katanya, mangsa turut mengalami kecederaan luka di tangan ketika berlaku pergelutan dengan keempat-empat penyamun tersebut.

“Semasa menunggu pelanggan sambil melihat jam tangan yang mahu dijualnya, mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki sebelum terus disamun.




“Empat lelaki terbabit mengambil tiga jam tangan jenama Rolex dan sebentuk cincin emas sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Raub, susulan itu pihaknya sedang giat mengesan semua suspek terlibat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 397/397 Kanun Keseksaan.