Lelaki tumbuk dua anggota polis

Petaling Jaya: Seorang lelaki ditahan selepas menumbuk dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bermotosikal di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kedua-dua anggota diserang suspek berusia 26 tahun itu ketika mahu menjalankan pemeriksaan terhadapnya.



“Dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan yang meminta mereka menjalankan pemeriksaan ke atas suspek yang berada dalam sebuah kenderaan di kawasan perumahan berkenaan.

“Bertindak atas aduan, anggota mengarahkan suspek keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan badan. Suspek tiba-tiba merangkul leher seorang anggota dari belakang lalu menumbuk muka dan perut anggota itu.





“Rakan setugasnya yang datang untuk meleraikan suspek turut ditumbuk di bahagian muka. Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan ketika ditahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, dua anggota mengalami kecederaan di bahagian tangan dan badan manakala suspek mengalami cedera ringan akibat pergelutan itu.





Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.
Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.