Lelaki Tergamak Tetak Abang Sendiri Guna Parang

MACHANG – Darah daging bertukar musuh. Begitulah nasib seorang abang yang ditetak menggunakan sebilah parang oleh adiknya sendiri hanya disebabkan berebut hasil tanaman jagung yang diusahakan di atas tanah milik bapanya di Kampung Tualang Keliki di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, sehari sebelum kejadian, telah berlaku perselisihan faham di antara suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an dengan kakaknya berusia 30-an kira-kira pukul 9.30 malam.




Pertelingkahan itu dipercayai berpunca daripada kutipan hasil tanaman jagung yang diusahakan di atas tanah pusaka milik arwah bapanya sebelum dia nekad untuk menghunus sebilah pisau kepada wanita itu.

Menurut penduduk tempatan perselisihan juga terjadi disebabkan adiknya telah menjual mesin rumput abangnya untuk membeli dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, abangnya cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut sebelum suspek mencederakan paha lelaki itu dengan pisau yang sama.

Tambahnya lagi, abang suspek telah dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada malam itu juga.




“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan abangnya telah datang ke rumah lelaki itu keesokan harinya dengan membawa sebilah golok sebelum menetak mangsa”.

“Tetakan itu menyebabkan abangnya cedera pada lengan, kepala dan lutut sebelum dibawa semula ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.





Menurut Mohd Zahir, pihak polis telah berjaya mengesan keberadaan suspek sebelum dicekup di kawasan kebun jagung di belakang rumahnya kira-kira pukul 3.20 pagi pada Sabtu lalu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan satu kes dadah.