Lelaki direman, Dakwa dera kucing sebab tertekan tiada kerja

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang menyeksa kucing dengan menendang dan membaling batu kepada haiwan terbabit direman selama tiga hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Perintah reman terbaik terhadap lelaki berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.



Suspek direman mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek yang berbaju T merah dan berseluar panjang gelap tiba di kompleks mahkamah dengan tangan bergari dan menutup wajahnya ketika dirakam kamera.





Semalam, video rakaman kamera litar terutup (CCTV) yang menunjukkan perbuatan kejam suspek seperti menendang kucing dan membaling batu terhadap dua kucing di kaki lima sebuah kedai di Semeling tular di media sosial.

Perbuatannya itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang mengecam tindakannya terbabit sebelum seorang lelaki membuat laporan polis.





Susulan itu, suspek ditahan jam 1.29 petang di rumahnya di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok dan ketika disiasat dia mendakwa tertekan serta mengalami gangguan emosi kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Ahli keluarga juga mendakwa lelaki berkenaan sebelum ini adalah seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan terbabit di rumah.