Connect with us

Isu Semasa

Kerajaan Pahang Arah Hentikan Aktiviti Lombong Emas Di Kuala Lipis

Published

on

Nama Mukim Kechau, Kuala Lipis menjadi bualan pengguna internet sejak beberapa hari ini apabila tanah yang berkeluasan 77,000 hektar itu mempunyai sumber emas mentah yang tertanam di bawahnya.

Untuk pengetahuan semua kawasan Mukim Kechau terletak dalam jajaran dikenali sebagai Sutera Raub-Bentong. Jajaran ini pula terletak dalam Jajaran Emas negara yang merentasi beberapa buah negeri di Semenanjung bermula dari Thailand hingga ke Batang Melaka, Jasin.

Penemuan emas baru-baru ini umpama rezeki ‘durian runtuh’ untuk penduduk setempat. Menurut pihak Kosmo, ada sebahagian penduduk telah membeli kenderaan baru secara tunai. Bahkan ada juga penduduk membeli jengkaut untuk memudahkan kerja-kerja melombong emas di tanah mereka sendiri.

SUMBER GAMBAR: ASTRO AWANI

Tetapi kegembiraan penduduk setempat tidak bertahan lama apabila Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengarahkan kegiatan melombong emas di kawasan Kechau, Lipis dihentikan serta merta. Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan untuk memastikan kegiatan terbabit dapat dikawal sebelum menjadi lebih serius.

Advertisement

Hasil Mineral Hak Kerajaan

“Walaupun kegiatan melombong emas itu dilakukan di atas tanah milik sendiri, hasil mineral tertakluk kepada peraturan dan hak kerajaan Pahang.

“Sebab itu saya minta mereka hentikan kegiatan itu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan,” katanya ketika mengulas kegiatan melombong emas di Kampung Kechau. Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi mengelakkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan.

Mengulas status pemilik tanah yang memohon lesen pelombong kecil (LPK), Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri perlu meneliti permohonan iu sebelum kelulusan diberikan. Ini disebabkan kerana ada permohonan membabitkan antara 10 dan 15 individu di kawasan sama.

Boleh gali, tapi tak boleh ambil
“Boleh gali tetapi tidak boleh ambil.” itu kata Presiden Institut Geologi Malaysia Datuk Yunus Abd Razak berhubung aktiviti menggali emas oleh penduduk kampung di kawasan tanah berhampiran kediaman masing-masing.

Advertisement

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkata, bahan galian seperti emas tersenarai antara mineral yang menjadi milik kerajaan walaupun berada di dalam kawasan tanah persendirian mengikut undang-undang.

“Pada asasnya semua sumber mineral adalah tertakluk dan menjadi hak kerajaan negeri.

“Penduduk dibenarkan menggali tanah tetapi sekiranya menemui sumber mineral antaranya emas dan timah, ia adalah milik kerajaan seperti termaktub dalam undang-undang,” katanya ketika dihubungi Metro.

Menurut Yunus, penduduk terbabit bagaimanapun boleh membuat permohonan Lesen Melombong Tuan Punya untuk mencari dan menggali emas di tanah milik masing-masing.

“Lesen ini perlu dipohon daripada Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG) dan selepas memperolehnya, mereka perlu memohon lesen operasi pula daripada JMG.

Advertisement

“Pemilik tanah juga perlu mengemukakan satu skim yang mana perlu mendapatkan bantuan jurutera perlombongan berdaftar.

“Skim ini secara mudahnya untuk menunjukkan keluasan, sistem pengairan dan beberapa aspek keselamatan lain yang perlu dipatuhi.

“Selain itu, wujud peruntukan dalam Enakmen Mineral Negeri yang memerlukan mereka membayar royalti sekitar 2.5 peratus daripada keuntungan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Yunus menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya merujuk kepada JMG untuk mendapatkan nasihat bagaimana mereka boleh meneruskan aktiviti menggali emas di tanah milik masing-masing.

“Tidak perlu terburu-buru, sebaliknya dapatkanlah nasihat daripada pakar. Mereka juga boleh mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat yang mampu melakukan aktiviti berkenaan secara lebih berkesan dan terserah kepada persetujuan mereka mengenai nisbah pembahagian keuntungan,” katanya.
Emas merupakan antara sumber kekayaan yang menjadi perhatian di Pahang kerana ia menjana pendapatan lumayan.

Advertisement

Sumber kekayaan yang wujud di bumi Tok Gajah ini khususnya di Lipis dan Raub kini menjadi kegilaan penduduk tempatan dan orang luar untuk mendapatkan logam berharga itu.

Mana tidaknya, emas bernilai RM290 satu gram ketika ini boleh digali kawasan rumah.

Menurut faktor geografi, daerah Lipis, Raub dan Bentong sememangnya terletak dalam jajaran emas negara membuatkan daerah itu kaya dengan logam itu, menyaksikan perlombongan besar-besaran dilakukan terma­suk di Penjom, Lipis.

Malah sejak beberapa tahun lalu penduduk kampung sekitar Lipis telah mula giat menggali tanah di kawasan rumah masing-masing yang turut mempunyai galian emas.

Felo Penyelidik Kanan, Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) Universiti Malaysia Pahang, Prof. Madya Dr. Mohd. Fakhrurrazi Ishak berkata, tiga daerah itu adalah Jajaran yang sangat terkenal dengan emas.

Advertisement

“Ia telah dilombong pada zaman penjajah British lebih 100 tahun dahulu. Lombong terbesar Penjom Goldmine juga berada di situ.

“Di kawasan Raub serta Lipis didapati mempunyai banyak galian emas, manakala di Gua Musang walaupun ada ditemukan emas tetapi agak sedikit tetapi ada mineral lain,” katanya.

Kewujudan emas menyebabkan kawasan itu menjadi sasaran penjajah serta orang luar dan ia terbukti dengan pene­muan sebuah kapal disaluti tembaga terdampar di tebing Sungai Lipis baru-baru ini yang dibina pada 1800 bagi me­ngangkut emas dari negara ini.

Ketua Kampung Dada Ke­ring, Mat Isa Mat Lia, 65, berkata, kewujudan emas mendorong orang-orang luar datang ke daerah ini bagi menjarah logam berharga itu sejak dahulu lagi sehingga nama kampung itu juga diambil bersempena dengan perlombongan emas yang giat dilakukan di kawasan itu sejak lebih 100 tahun dahulu

Katanya, antara kawasan perlombongan yang terkenal adalah di kawasan pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang telah pun ditambak.

Advertisement

“Dahulu di kampung ini pelombong Cina mencari emas dan lepas itu baru masuk orang Melayu termasuk datuk saya, masa itu emas sudah habis, ha­nya tinggal kawasan lapang menyebabkan orang kampung kata tinggal dada sahaja, emas dah kering, jadilah Kampung Dada Kering,” ujarnya.

Malah, kewujudan emas di situ sehingga kini menyebabkan banyak pihak luar datang seperti didedahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, penemuan emas di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan ada pihak yang cuba mengambil ke­sempatan terhadap pemilik-pemilik tanah terlibat.

“Adalah dinasihatkan agar semua pemilik tanah tidak terpengaruh dengan janji-janji manis bulan dan bintang daripada pihak-pihak yang berkenaan yang akhirnya akan menyusahkan mereka.

“Elakkan kejadian yang sama berlaku sepertimana di Bukit Goh semasa aktiviti perlombongan bauksit dijalankan secara berleluasa di sana,” katanya.

Advertisement

Hakikatnya Pahang mempunyai sumber dan kekayaan yang banyak dan biarlah hasil negeri dinikmati penduduk dan negeri.

Dalam pada itu bagi mencari kaedah menang-menang dalam isu perlombongan emas, Wan Rosdy memberitahu, Pahang bertindak proaktif menjadi ne­geri terawal yang mewujudkan satu skim perlombongan emas kecil-kecilan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Ja­nganlah biarkan sejarah kembali berulang.-K! ONLINE

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending