Isteri boleh minta cerai jika suami mati pucuk

PETALING JAYA – Seorang isteri boleh memfailkan penceraian di mahkamah sekiranya suami didapati mati pucuk dan gagal memberikan nafkah batin.

Menjelaskan perkara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, nafkah batin adalah satu nafkah yang wajib ditunaikan oleh seorang suami.



Katanya, sekiranya suami tersebut sudah tidak boleh memberikan nafkah batin sedangkan isteri mampu lagi bersetubuh, maka adalah menjadi kewajaran isteri memohon penceraian.

“Tidak menjadi kesalahan (meminta cerai) kerana nafkah batin adalah wajib diberi oleh suami ke atas isteri sama seperti nafkah zahir,”katanya.





Fahmi berkata, sekiranya suami tidak mahu menceraikan isterinya, wanita tersebut boleh memfailkan fasakh di mahkamah untuk proses penceraian oleh hakim.

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan perlu disertakan bukti yang menunjukkan bahawa suami itu mati pucuk.





“Proses ini bukan mudah, kalau tiada laporan perubatan atau sebagainya, bagaimana kita (isteri) nak buktikan pada mahkamah?

“Beban pembuktian terletak kepada penuntut (isteri), kalau isteri dakwa kata nak cerai kerana suami mati pucuk, dia perlu buktikan bahawa suami pernah berubat atau mendapat rawatan sebelum ini.

“Proses ini pula perlu dibuktikan kepada mahkamah serta diyakini yang nafkah batin ini tidak dapat diberi atau tidak berkemampuan oleh suami,” jelasnya.-KOSMO!