Imam didakwa laku amang seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan

Melaka: Bapa tiga anak didakwa di Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas empat pertuduhan termasuk melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan, bulan lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun yang juga Imam III sebuah surau di Limbongan, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia empat tahun di surau berkenaan antara 3.30 petang hingga 6 petang pada 28 Mei lalu.


Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa berusia 13 tahun lapan bulan antara 5 petang hingga 5.30 petang di stor surau sama pada hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut akta sama, di mana sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di tempat dan waktu sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 15(a)(i) AKKSKK 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksium RM20,000 atau kedua-duanya.





Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Mustapa.

Intan Lyiana mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan, namun Muhammad merayu ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM1,500 selain menghidap penyakit gout.

Mahkamah membenarkan jaminan RM22,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki video lucah dalam telefon bimbit di Balai Polis Melaka Tengah, kira-kira 8.45 malam pada 2 Jun lalu.




Lelaki itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM7,000 namun mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000 selepas dirayu peguam atas alasan sama.

Semua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Julai depan bagi serahan dokumen.